Firman Allah SWT
(Ali Imran : 185)
“Tiap-tiap
Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat
sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang
dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia
telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi
Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya…”.
Dari
Al-Bara’ bin ‘Azib RA, katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi
SAW, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai
ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah SAW pun duduk lalu kami duduk
disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu seolah-olah
ada burung yang hinggap di atas kepala kami; manakala Baginda SAW pula
mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya.
Setelah
itu Baginda SAW mengangkat kepalanya lalu bersabda: “Mintalah kamu
perlindungan kepada Allah dari azab kubur”, (diulanginya sabdanya itu)
dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: “Sesungguhnya
hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam
keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah
kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka,
seolah-olah matahari, dengan membawa bersama mereka kain-kain kapan dari
syurga, dan haruman yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak
daripadanya sejauh mata memandang.
Kemudian
datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya
dengan berkata: “Wahai jiwa yang baik! Keluarlah engkau menuju ke tempat
keampunan dan keredhaan Allah”. Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian
roh orang itu keluar – mengalir seperti mengalirnya setitik air dari
mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut
mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya,
Malaikat-malaikat
(yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut
walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian
meletakkannya di dalam kain kapan dan haruman tersebut; dan keluar pula
dari roh itu bau yang harumnya seperti haruman kasturi yang terdapat di
atas muka bumi.” Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian mereka
membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya)
mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata:
“Roh yang baik ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan anak si
fulan’ (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka
menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya)
sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang
pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya,
lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang
berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit
menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya,
sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh.
Setelah
itu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang
ditugaskan untuk itu): “Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam
‘illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan
bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan
manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari
bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi”. Baginda SAW bersabda lagi:
“Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia
berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat,
akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka
mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka
duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.
Kemudian
datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya
dengan berkata: “Hai jiwa yang jahat! Keluarlah engkau menuju ke tempat
kebencian dan kemurkaan Allah”. Baginda s.a.w bersabda lagi: “Kemudian
roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak
keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang
besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul
maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat
(yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut
walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain
kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk
bau bangkai yang ada di atas muka bumi.
Kemudian
mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa
membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu
berkata: “Roh yang jahat ini roh siapa?” Mereka menjawab: “Roh si fulan
anak si fulan,” (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa
dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga
berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah
itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak
dibukakan baginya.
Kemudian
Rasulullah SAW membaca (ayat 40 Surah al-A’raf ertinya): “…..Tidak
sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka
tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..”. (Kemudian
Baginda SAW bersabda): “Lalu Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepada
Malaikat: “Simpanlah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat
simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letakkanya di
bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ……..”
(HR Ahmad, Abu Dawud)
No comments:
Post a Comment